KUALA LUMPUR: Pelawak Singapura, Suhaimi Yusof berkata kebanjiran artis Singapura ke negara ini bukan isu besar yang patut dibimbangkan kerana golongan itu tidak membawa ancaman kepada penggiat seni tempatan.
Suhaimi, 43, berkata artis Singapura termasuk dirinya sendiri hanya ingin mengembangkan karier seni dalam industri hiburan Melayu yang lebih gah dan besar berbanding di negara mereka.
"Saya pun pelik apabila timbul persepsi demikian kepada kami yang tidak berapa kerat jumlahnya di sini. Kami datang ke sini untuk mengembangkan karier dan industri hiburan.
"Saya rasa ia bukan satu isu besar kerana kami bukan ancaman kepada penggiat tempatan tetapi hanya ingin berkongsi arena hiburan yang besar di sini atas nama perkembangan seni serantau," katanya kepada mStar Online.
Suhaimi berkata demikian sebagai respons kepada pertikaian dibangkitkan pelakon dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi sebelum ini yang menuntut agar penggiat luar perlu mendapatkan permit untuk bekerja dalam industri seni tanah air.
Bekas penyampai radio Warna FM di Singapura ini berkata, respons sinis dan negatif segelintir pihak di negara ini terhadap artis Singapura adalah berbeza dengan reaksi masyarakat di sana yang mengalu-alukan penggiat seni Malaysia.
"Kalau hendak tahu masyarakat Singapura tidak pernah tidak puas hati apabila artis Malaysia seperti Sheila Rusly memenangi Anugerah Perdana di tempat kami beberapa tahun lalu.
"Malah, mereka mengalu-alukan dan menyokong sesiapa pun bakat seni Malaysia yang bekerja dalam industri kami kerana kami kekurangan artis Melayu yang menyerlah di Singapura," katanya yang berpengalaman selama 25 tahun dalam seni.
Suhaimi berkata senario globalisasi pada hari ini menjadikan dunia seni tidak bersempadan dan semua penggiat berhak untuk mencari rezeki dan peluang kerja di mana saja jika artis itu boleh diterima oleh khalayak sesebuah negara.
"Seperti kes terbaru yang berlaku pada Aaron Aziz, adalah tidak wajar untuk mempertikaikan kemenangannya pada anugerah yang ditentukan oleh undian para peminat.
"Sama ada dia, saya atau sesiapa pun artis Singapura itu, kami bukan mahu menjejaskan periuk nasi artis tempatan tetapi cuma berkongsi bahagian dalam bidang ini.
"Dunia kini tiada sempadan. Lihat saja pencapaian artis Malaysia, Datuk Michelle Yeoh di pentas antarabangsa. Jika dia boleh kenapa kita tidak lakukan yang sama untuk terus berkembang," katanya.
Terbaru, Suhaimi yang baru terlibat dengan program Super Spontan akan muncul dalam program komedi berjudul Karoot Komedia X dan Kembang Setaman tidak lama lagi.
{ 0 ulasan... read them below or add one }
Catat Ulasan