LONDON – Eden Hazard mengakui dia memilih untuk menyertai Chelsea selepas menyaksikan kelab barunya itu meraih kejuaraan Liga Juara-Juara dengan menewaskan Bayern Munich pada aksi final penuh dramatik, bulan lalu.
Hazard melengkapkan perpindahan bernilai £32 juta (RM157.4 juta) daripada kelab Perancis, Lille, awal pagi tadi selepas pemain berusia 21 tahun itu pada awalnya dikatakan bakal menyertai Manchester City atau Manchester United berbanding Chelsea.
Perancang tengah Belgium itu dalam keadaan dilema memilih tawaran dan hanya mendedahkan untuk berhijrah ke Stamford Bridge selepas tertarik dengan semangat juang para pemain Chelsea ketika menang menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Bayern.
“Saya menonton final itu sama seperti orang lain. Ia meletakkan lebih tekanan buat pemain yang sudah pun berada di sini tetapi mereka mampu menanganinya dan saya rasa saya cukup baik untuk menghadapi tekanan.
“Memang benar pada awalnya terdapat tawaran daripada beberapa kelab tetapi apabila Chelsea memenangi Liga Juara-Juara, saya terfikir mengapa tidak mereka.
“Ini merupakan satu keputusan yang rumit untuk dibuat selepas menimbang pelbagai faktor tetapi secara dasarnya Chelsea memiliki pemain-pemain hebat dan mereka juara Eropah. Saya fikir ini keputusan yang tepat,” kata Hazard. – mynewshub.my
{ 0 ulasan... read them below or add one }
Catat Ulasan