Welcome!

Promosi Hebat!

Si Gadis Berkorban Untuk Ayah Uzur

on Rabu, 2 Mei 2012

Si Gadis Berkorban Untuk Ayah Uzur

Sejak dari dalam rahim ibu, diri kita sudah dijaga bagai menatang minyak yang penuh oleh ibu kita. Dari sekecil-kecil saiz tubuh badan hinggalah kita pandai membawa diri, ibu bapa masih lagi menjaga dan mengambil tahu akan perihal dan pergerakan anak-anaknya.
Jadi, tidak mustahil untuk kita katakan terlalu banyak pengorbanan yang telah pun ibu dan bapa kita berikan.
Berbeza dengan kehidupan bagi seorang gadis kecil, Huang Puli yang berusia 12 tahun yang berasal dari negara China iaitu sebuah perkampungan kecil, Guanling, Guizhou.
Pengorbanannya jauh tidak terkira apabila dia yang masih lagi kecil, sanggup berhenti sekolah rendah untuk menjaga bapanya yang uzur dan mengalami kerosakan otak teruk akibat terjatuh dari pokok pada 19 Disember tahun lalu.
Semenjak sakit lumpuh dan kecacatan kekal yang dialami bapanya, Pulilah yang telah mengambil tugas menjaga bapanya setelah ibunya lari dari rumah dan tidak pulang sejak tiga tahun lepas.
Kehidupan keluarga Puli terlalu daif dan keluarganya hanya tinggal di kawasan yang miskin dan kekurangan dari segi kemudahan asas dan infrastruktur yang lain.
Bagi Puli, dia tidak memiliki apa-apa selain seorang nenek yang telah tua dan seorang bapa yang terlantar sakit.
Dengan kemiskinan yang dialami, Puli pula terpaksa berhutang sebanyak 110 ribu Yuan untuk melunaskan segala hutang kos rawatan sakit bapanya di Hospital Anshun, Guizhou.
Menyelusuri kehidupan Puli, terlalu banyak tugas dan beban yang tergalas di atas bahunya. Setiap jam 6.00 pagi, perkara pertama yang pasti dilakukan oleh Puli selepas bangun tidur adalah membantu bapanya melakukan senaman dan urutan di atas katil.
Sekitar jam 7.00 pagi, Puli akan memasak bubur untuk memberi makan kepada bapanya dan selepas itu, dia akan menghantar bapanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan terapi oksigen.
Menjelang waktu tengah hari pula, Puli akan mencuci dan mengelap badan tua bapanya dan akan mengulang semula sesi urutan badan terhadap bapanya.
Malah, membuang atau menyedut kahak yang terperangkap di dalam hidung bapanya bukanlah menjadi masalah buat si gadis kecil itu.
Di waktu petang pula, Puli akan bergegas ke pasar untuk membeli sayur dan daging untuk menyiapkan makan malam bapanya.
Sebelum masuk tidur, Puli akan mengelap badan bapanya sekali lagi dan menukar pakaian bapanya. Tugasnya itu tidak berhenti di situ sahaja. Malah, Puli akan mengulang tugas beratnya itu setiap kali hari baru menjelma keesokan harinya.
Jadi, kita yang masih lagi mempunyai ibu dan bapa, seharusnya sentiasa menghargai dan menjaga ibu bapa kita dengan sebaik-baiknya. Sikap dan pengorbanan Puli harus dipuji dan dijadikan iktibar untuk kita semua. Insyallah.
Oleh: NAIMAH SHAARI
Sumber Gambar : www.chinabuzz.net
 






Ranking: 5

{ 0 ulasan... read them below or add one }

Catat Ulasan

 
© LanunFanatik | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO