Welcome!

Promosi Hebat!

Layan Nafsu di Internet

on Rabu, 9 Mei 2012

Isteri resah suami sengkang mata tatap gambar, filem lucah
TEMPOH 23 melayari bahtera perkahwinan bukan satu jangka masa pendek. Pasangan yang hidup bersama dalam tempoh ini sudah tentu banyak merasai asam garam hidup. Sepatutnya makin lama hidup bersama tentu kasih sayang kian menebal.
Malangnya keadaan itu tidak berlaku kepada Zetty Aida dari Bayan Lepas, Pulau Pinang. Dalam e-melnya kepada Kongsi Rasa, Zetty meluahkan rasa kesal terhadap suami yang mempunyai hobi luar biasa suka melayari laman lucah dan sikap lelaki itu yang mengabaikannya sebagai seorang isteri.
Zetty menganggap rumah tangganya kini ibarat retak menanti belah.
“Saya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah saya. Apa yang terpendam di dada saya kini hanyalah rasa sebak dan sedih yang teramat sangat. Rumah tangga yang dibina 23 tahun kini sudah retak dan hanya menunggu belah.
Saya tidak faham mengapa suami suka sangat tengok gambar lucah dalam internet. Jika apa yang dilayari itu berfaedah saya tidak kisah, tetapi yang menyebabkan saya geram, dia suka membuang masa melihat gambar dan filem lucah serta berbual dengan rakan siber.
“Kadang-kadang sehingga jam 5 pagi, dia masih menghadap komputer riba. Esok pagi boleh bangkit untuk ke tempat kerja. Apa yang saya tidak tahan ialah semua urusan rumah tangga diletakkan di bahu saya. Saya pun bekerja, sama-sama cari rezeki untuk ringankan beban perbelanjaan keluarga.
“Malangnya hanya saya yang terkejar-kejar menguruskan rumah tangga selepas balik kerja. Suami hanya tahu menghadap TV, tiada langsung perasaan untuk membantu saya. Kain baju tidak berlipat menggunung di sofa, dia sedikit pun tidak hiraukan.
“Apa salahnya jika suami turut membantu melipat kain berlonggok itu sambil menonton TV. Saya rasa itulah kerja paling ringan boleh dia bantu jika tidak mahu bersama masuk ke dapur. Bagaimanapun, harapan saya untuk melihat suami ringan tulang hanya tinggal angan-angan.
“Apa yang dia tahu duduk di meja makan bagai tuan menunggu saya persis orang gaji menyediakan hidangan. Kalau sebelah siang sibuk dengan aktiviti sendiri, malamnya saya mengharapkan belaian manja suami, tetapi hampa kerana dia menghabiskan masa melayari internet.
“Dia lebih gemar melihat gambar lucah daripada melihat isterinya sendiri. Sekiranya suami saya sudah tidak memerlukan saya lagi, lepaskan saya. Kenapa harus diseksa batin saya? Jika tidak suka dengan saya kenapa dia mengahwini saya dulu?”
Begitulah luka hati Zetty yang mengharapkan penawar untuk meleraikan kemelut yang bersarang di hatinya. Kalau diikutkan tempoh perkahwinan Zetty, Kak Ani agak usia suami dan Zetty mungkin pertengahan atau lewat 40-an.
Pada usia begini, sepatutnya Zetty dan suami mengecapi hidup bahagia berumah tangga dan berkeluarga serta sudah ada perancangan menghadapi hari tua. Kalau ada anak tentu sudah besar dan boleh membantu Zetty menguruskan rumah tangga. Untuk mengharapkan suami membantu, kalau minatnya tidak ada memang susah. Sesetengah lelaki menganggap kerja mengurus rumah tangga adalah kerja wanita. Lelaki jenis ini memang ada ego sendiri. Pantang mereka menerima arahan isteri untuk melakukan kerja rumah.
Sesetengahnya bukan tak tahu membuat kerja rumah, tetapi sengaja tidak mahu menunjuk pandai kerana pentingkan ego. Biasanya kalau dari muda suami tak pernah tolong isteri di dapur, sifat itu akan berkekalan sehingga tua.
Sepanjang 23 tahun hidup bersama, Zetty tentu kenal siap suami Zetty sebenarnya. Jadi tak wajar Zetty jadikan alasan tak bantu kerja rumah sebagai sebab untuk memutuskan hubungan yang sudah terikat lama itu.
Apa yang perlu Zetty fikir sekarang ialah bagaimana menangani masalah hobi suami yang suka lihat gambar dan filem lucah serta berbual di internet sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai suami. Zetty mesti berani berdepan dengan suami untuk berbincang perkara ini.
Jangan biar masalah berbekam di hati kerana yang merana Zetty sendiri. Kalau perlu mintalah bantuan orang disegani suami untuk memberikan nasihat.
Sepatutnya apabila meniti usia senja, seseorang itu tidak kira lelaki atau wanita semakin matang. Sudah ada peralihan daripada memfokuskan soal dunia kepada akhirat yang memerlukan kita menyiapkan bekalan amal dan iman.
Sebaliknya perkara itu tidak berlaku kepada suami Zetty yang tidak sedar diri sudah dimakan usia. Mengapa suami Zetty tiada perasaan malu melihat benda maksiat? Jawapannya mudah kerana dalam dirinya tidak ada pengisian ilmu agama, tidak jaga solat dan jiwanya masih kotor.
Sepatutnya dalam usia sekarang, suami Zetty ada perasaan malu untuk melihat gambar tidak elok di internet. Sebenarnya banyak maklumat berfaedah boleh dilayari di internet, tetapi mengapa suami Zetty pilih benda yang tidak berfaedah? Jawapannya tanyalah iman.
Walaupun belum ada akta menyekat penyebaran gambar lucah di internet, sebagai pengguna kita patut mengelak melayarinya. Kalau orang tua sama naik dengan golongan muda melayari gambar lucah, Kak Ani tak tahulah apa nak jadi dengan masyarakat kita pada masa depan.
Sepatutnya golongan tua menyekat gejala sosial itu daripada berkembang, bukan menjadi pendorong meningkatkan masalah itu. Mereka yang melayari gambar demikian lebih memenuhi tuntutan hawa nafsu hingga lupa bahawa perbuatan itu berdosa dan sama seperti berzina.
Suami Zetty perlu diberi kesedaran mengenai perkara ini yang dianggap penyakit jika terus dibiarkan. Sebagai isteri, Zetty kena kaji balik penampilan diri yang mungkin gagal menarik ‘selera’ suami. Sebagai wanita berkerjaya, Zetty tak boleh menjadi wanita ‘super’, semua kerja rumah hendak dilakukan sendiri.
Kak Ani sarankan Zetty usah terlalu memaksa diri. Kerja rumah buat sekadar yang termampu. Dalam pada itu jangan lupa perbaiki penampilan diri terutama jika berada bersama suami. Beri layanan mesra seperti baru berkahwin dulu.
Carilah jalan untuk mengubat hati dengan meningkatkan ilmu seperti menyertai kelas dan kuliah agama di masjid atau kegiatan persatuan wanita, tetapi dapatkan dulu keizinan suami.
Kak Ani sarankan Zetty cuba pertahankan rumah tangga ini. Perbanyak sabar dan menahan kemarahan kerana ia sebahagian daripada iman. Tunjukkan contoh yang baik dengan meningkatkan amal ibadat dan berdoa kepada Tuhan supaya dibukakan pintu hati suami untuk menyedari kesilapannya.
Jangan abai layanan mesra terhadap suami, mana tahu berkat kesabaran dan doa ikhlas seorang isteri yang mahu melihat suami berubah akan dimakbulkan tuhan. Menuntut perceraian bukan jalan terbaik.




























Ranking: 5

{ 0 ulasan... read them below or add one }

Catat Ulasan

Pages

 
© LanunFanatik | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO