BELUM pun setahun menjalinkan hubungan cinta, Sharnaaz Ahmad, 27, dan Shila Amzah, 22 terpaksa menelan kata nista yang tidak suka akan gelagat mereka.
Malah, ada pihak mendakwa Sharnaaz seorang yang kuat cemburu sehingga hubungan mereka pernah beberapa kali berantakan. Tidak cukup dengan itu, Sharnaaz juga dikatakan tidak tahu menghormati ibu bapa Shila apabila tanpa segan silu menunjukkan kemesraan mereka.
Tidak berdiam diri dengan cemuhan dan dakwaan tidak berasas sesetengah pihak, Sharnaaz menjelaskan perkara sebenar kepada Zass.
“Secara jujurnya saya tidak tertekan bila dicemuh dan di tuduh macam-macam. Bila orang ambil tahu mengenai hubungan kami, saya rasa ia satu penghargaan.
“Jika dahulu dunia saya adalah kawan-kawan dan keluarga saya, tetapi kini selepas berkawan dengan Shila, keluarga dia juga adalah keluarga saya. Saya juga sanggup berbuat apa saja untuk mempertahankan keluarga dia.
“Cuma lebih banyak cerita yang tak benar dikeluarkan berbanding cerita sebenar. Saya juga manusia biasa, bila orang cuit mengenai hal keluarga saya, tentulah saya marah.
“Saya akui, kadangkala kami ada bergaduh, biasanya pergaduhan itu cuma salah faham dan kami akan okey selepas itu, tetapi bukanlah sampai Shila mencampak telefon bimbit ke dinding. Saya cabar pihak yang mendakwa kami bergaduh di belakang pentas itu, bawa bukti tersebut ke depan,” katanya.
Menjelaskan dengan lebih terperinci, Sharnaaz berkata percintaannya dengan Shila bukan satu eksperimen atau sekadar suka-suka, sebaliknya mereka berdua telah melakukan perancangan dalam perhubungan tersebut.
“Saya dan Shila memang ada perancangan untuk bertunang dan berkahwin, tetapi kami akan berkahwin bukan kerana paksaan orang luar. Perkahwinan ini perkara besar dan memerlukan perancangan yang sewajarnya.
“Jika sudah tiba masanya kami akan berkongsi berita gembira ini dengan semua,” katanya.
Bukan panas baran
Apabila dilihat lantang meluahkan perasaan mengenai tohmahan orang menerusi laman sosial Twitter miliknya, ada peminat telah melabelkan aktor yang berasal dari Pulau Pinang ini sebagai seorang yang panas baran.
Namun, bagi Sharnaaz sendiri, jika seseorang peminat itu pernah berjumpa dengannya atau pun mengenalinya dengan lebih dekat, istilah panas baran itu tidak pernah wujud.
“Macam saya katakan tadi, saya bukan seorang yang panas baran, cuma bila ada orang cuit kita, sesiapa pun akan marah.
“Tapi bila peminat kenal saya dan pernah jumpa saya secara dekat, mereka tahu saya macam mana. Hanya mereka yang melihat saya melalui Twitter saja yang melabelkan saya panas baran,” katanya.
Tidak merasakan hubungan cintanya telah merosakkan karier seninya, Sharnaaz berkata, perjalanan kariernya bergerak dengan baik dan dia juga tidak putus-putus menerima tawaran buat masa ini.
“Mungkin hujung tahun ini filem lakonan saya akan menemui penonton di pawagam. Dalam filem tersebut saya memegang watak sebagai seorang samseng yang psiko dan mungkin orang akan lagi membenci saya selepas menonton filem itu (ketawa).
“Selain itu, bulan ini drama lakonan saya Suri akan disiarkan di TV3 dan juga drama Bukan Bidadariku. Tidak lama lagi saya akan memasuki set penggambaran Dendam Sarakit bersama Fasha Sandha,” katanya.
Shila akui terkilan
Sementara itu, Zass juga turut mendapat pandangan Shila bagi mengulas dakwaan liar sesetengah pihak mengenai hubungan mereka.
Sama seperti Sharnaaz, Shila tidak merasa tertekan dengan tohmahan orang luar, namun mengakui terkilan dengan pihak yang kononnya lebih mengenali mereka.
“Kadang kala Shila akui terkilan bila ada pihak membuat pelbagai spekulasi yang tidak berasas mengenai hubungan kami. Tapi Shila lebih senang mengambil cerita negatif ini dari sudut yang positif.
“Shila akui tak semua yang kita buat mendapat sokongan orang lain, tapi Shila masih bersyukur kerana masih ada pihak lain yang mendoakan yang terbaik untuk hubungan kami.
“Bila orang kata Sharnaaz kuat cemburu, bagi Shila normallah bila pasangan kita ada perasaan cemburu. Malah ayah Shila sendiri kadangkala masih cemburu bila orang melihat mama, walaupun mereka telah berkahwin,” katanya.
Walaupun baru berusia 21 tahun, Shila berkata, dia bersyukur kerana melalui dugaan ini pada usia muda dan boleh dijadikan sebagai panduan buatnya selepas ini.
“Ada yang kata, Shila ambil masa bertahun untuk berada di tempat Shila berdiri sekarang tetapi kini ramai pula yang mahu menjatuhkan Shila.
“Tapi bagi Shila sendiri, Shila bersyukur melalui pengalaman ini pada usia muda kerana mental Shila masih kuat untuk melaluinya. Malah ini juga adalah harga yang perlu Shila bayar bila menceburi bidang ini.
“Shila terima dengan hati dan tangan yang terbuka. Shila bersyukur kerana keluarga dan Sharnaaz sendiri banyak memberi sokongan,” katanya yang bersedia untuk menamatkan zaman bujang pada usia muda jika sudah ditakdirkan berkahwin awal. – Informasi Dot My
{ 0 ulasan... read them below or add one }
Catat Ulasan