Welcome!

Promosi Hebat!

Lagu “Dadali – Di Saat Aku Mencintaimu” Dicipta Ketika Putus Cinta

on Ahad, 8 April 2012



Dadali - Di Saat Aku Mencintaimu


BAND berasal dari Bogor, Indonesia, Dadali yang cukup popular dengan single pertama mereka Di Saat Aku Mencintaimu, mengakui pernah hidup susah sebelum mereka mengecapi populariti seperti hari ini.
Band yang mempunyai enam orang ahli iaitu Dyrga (vokalis), Fadel (bass), Rickarjd (gitar), Yuda (gitar), Oq (dram) dan Rix (keyboard) ketika ditemui pada majlis pelancaran album mereka yang berjudul Di Saat Aku Mencintaimu di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini mengatakan, mereka tidak pernah menyangka akan segera popular hanya dengan sebuah lagu sahaja.
Pengalaman ditolak oleh banyak syarikat rakaman sehingga kehabisan wang dan terpaksa hidup bergelandangan selama beberapa hari di kota Jakarta masih segar dalam ingatan setiap ahli band Dadali.
“Kami pernah ditolak oleh beberapa penerbit syarikat rakaman yang memandang kami hanya dengan sebelah mata. Sungguhpun begitu, kami tidak berputus asa dan tetap mahu memperjuangkan muzik kami dengan memberi rakaman demo kepada setiap syarikat rakaman yang ada di Jakarta.
“Bayangkan sahaja perjalanan kami dari Bogor sangat jauh, kemudian ditolak oleh penerbit dan pernah suatu ketika kami kehabisan wang. Cuma yang ada dalam poket RM2 (RP 5,000) sahaja.
“Kami hanya mampu membeli sekeping roti untuk dikongsi berenam. Tidur di tepi kaki lima pusat beli-belah dan akhirnya kami sampai di syarikat rakaman Nagaswara,” ujar vokalisnya, Dyrga.
Bagaimanapun kata Dyrga, saat pertama kali bertemu dengan penerbit di syarikat rakaman Nagaswara untuk memberi rakaman demo, sekali lagi kehadiran mereka tidak diendahkan.
“Ketika itu, sudah habis wang dan badan letih, tetapi saya tetap memaksa untuk mereka menyimpan rakaman demo yang kami bikin. Ketika perjalanan pulang, kami mendapat khabar gembira dan mereka meminta kami datang ke Jakarta untuk memperbaiki muzik kami,” luah Dyrga lagi mengenai rentetan perjalanan muzik band Dadali.
Selepas berjaya mendapat kontrak dengan syarikat rakaman Nagaswara, sekali lagi mereka diuji apabila penerbit mengatakan tiada lagu yang benar-benar kuat untuk album pertama mereka.
“Ketika itu sudah ada sembilan buah lagu dan lagu Di Saat Aku Mencintaimu dicipta yang terakhir sekali oleh Yuda yang kebetulan waktu itu sedang bersedih kerana putus cinta.
“Dia mahu menjual lagu itu kepada Melly Goeslaw dan saya kata kepadanya, lagu ini sedap kenapa mahu jual. Lebih baik digunakan untuk album kami sendiri. Jadi kami bersama-sama perbaiki lagu itu dan apabila diperdengarkan kepada penerbit, terus dipromosikan lagu itu,” cerita Dyrga.
Berkat inspirasi putus cinta itu, lagu tersebut telah dijadikan lagu runut bunyi lebih 10 buah sinetron di Indonesia dan juga Malaysia menerusi drama Dingin Lavenda.
Lebih menarik lagu single pertama Dadali itu telah dimuat turun sebanyak 800,000 di Malaysia sahaja, manakala muzik video lagu Di Saat Aku Mencintaimu pula telah ditonton lebih daripada dua juta penonton di laman perkongsian video, Youtube.
“Semuanya berlaku tanpa dirancang. Waktu itu kami baru sahaja selesai penggambaran muzik video lagu Di Saat Aku Mencintaimu.
“Selepas video muzik itu siap, kami ingin menontonnya dan penerbit menghantar video itu di Youtube kerana susah untuk kami berulang-alik antara Bogor dan Jakarta. Kami merupakan orang kedua yang menonton video itu.
“Setelah itu, kami tidak kisah tentang video di YouTube, tahu-tahu sahaja video itu sudah ditonton oleh ramai orang. Memang kami sangat terkejut kerana tidak sangka sambutannya begitu menggalakkan,” luah Dyrga sambil dipersetujui oleh anggota Dadali yang lain.
Kesukaran hidup yang pernah dilalui menjadikan mereka lebih matang dan berpijak di bumi yang nyata meskipun nama mereka semakin hari semakin bersinar di Indonesia dan juga Malaysia.
“Prinsip band Dadali, ketika kami di atas pentas, kami adalah artis tetapi apabila berada di bawah pentas, kami adalah orang biasa yang menjalani kehidupan yang sama seperti sebelum kami dikenali ramai,” kata Yuda, 33, yang merupakan anggota tertua band Dadali.
Dyrga bukan Ariel Peterpan
Jika didengar dengan teliti lontaran vokal Dyrga ternyata vokalnya itu kedengaran serupa dengan vokal milik vokalis band Peterpan, Ariel yang kini berada di dalam penjara atas kesalahan menyebarkan video lucah.
Perkara itu turut diakui oleh ramai pihak termasuklah penerbit band Peterpan sendiri sehingga pernah menawarkan Dyrga untuk menggantikan posisi Ariel dalam konsert jelajah Peterpan di Indonesia.
Semuanya terjadi apabila band Dedali diminta oleh penerbit program Inbox untuk menyanyikan lagu Peterpan, Mungkin Nanti dengan alasan peminat sudah lama merindui Ariel Peterpan.
“Sekali itu sahaja saya menyanyikan lagu Peterpan, terus orang mengatakan suara saya mirip Ariel dan penerbit Peterpan turut menawarkan saya untuk menggantikan tempat Ariel pada konsert jelajah mereka.
“Penerbit saya tolak tawaran itu, begitu juga saya kerana saya tidak mahu kehadiran saya di dalam industri muzik dibayangi oleh Ariel Peterpan. Saya lebih selesa jika saya dikenali dengan band Dadali sahaja,” balas Dyrga.
Disoal adakah Dyrga sengaja menyanyikan lagu mengikut lenggok suara Ariel, jawabnya: “Saya sebenarnya sedih disamakan dengan Ariel. Macam mana saya mahu buat kerana sudah suara saya begini, bukan sengaja mahu ada suara sepertinya. Dalam dunia memang ada tujuh orang yang sama, mungkin salah satu daripada tujuh orang itu adalah saya.”
Menurut Dyrga lagi, band Dadali tidak memerlukan hasil ciptaan orang lain kerana mereka berenam berkebolehan dalam penciptaan lagu selain untuk mengekalkan identiti band Dadali.









SumbeR



Ranking: 5

{ 0 ulasan... read them below or add one }

Catat Ulasan

 
© LanunFanatik | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO