Welcome!

Promosi Hebat!

Batu Ajaib Ditemui di Jepun

on Isnin, 30 April 2012


Ya, demikianlah amaran yang tertulis pada batu bersurat yang terdapat di Kampung Aneyoshi, yang terletak di daerah Iwate, Jepun yang dilanda tsunami pada 11 Mac lalu. Batu bersurat itu telah wujud di kaki bukit di kampung itu sejak masyarakat tertuanya dilahirkan. Malah tidak ada seorang pun penduduk kampung itu yang mengetahui bilakah batu bersurat itu telah berada di kaki bukit berkenaan. Tetapi apa yang mereka tahu ialah mereka sentiasa patuh kepada amaran tersebut sejak turun temurun. Di Aneyoshi tidak ada siapa yang berani mengingkari amaran tersebut. Hasilnya kesemua rumah yang terdapat di Aneyoshi terselamat daripada tsunami yang melanda pantai timur Jepun itu.

Kata Tamishige Kimura, 64, ketua kampung Aneyoshi, tsunami yang menghempas pantai berhadapan dengan kampung mereka mencapai ketinggian 100 meter di bawah paras batu bersurat itu terletak. Tetapi kata para penyelidik dari sebuah universiti yang berdekatan, tsunami yang berlaku pada 11 Mac lalu adalah yang tertinggi pernah melanda Aneyoshi iaitu sehingga 38.9 meter berbanding 38.2 meter pada kejadian tahun 1896.
Dan benar sungguh akan kata-kata amaran sebagaimana yang tertera pada batu bersurat di Aneyoshi, apa sahaja yang berada di bawah paras batu itu musnah sama sekali termasuk pokok dan tumbuh-tumbuhan malah batu dan bukit semuanya hancur ditelan tsunami.
“Jelas sekali nenek moyang kami mengetahui malapetaka tsunami jadi mereka mengukir kata-kata amaran di atas batu bersurat ini dan meletaknya di paras yang paling selamat sebagai ingatan untuk generasi akan datang...pendek kata mereka sendiri pernah alaminya suatu ketika dahulu,” demikian kata Tamishige yang kehilangan bot memancingnya dalam kejadian itu.
Menurut ceritanya, penduduk kampung Aneyoshi buat pertama kali pindah ke kawasan lebih tinggi selepas kejadian 1896 yang menyaksikan hanya dua buah keluarga sahaja yang terselamat. Perkampungan Aneyoshi kemudiannya kembali semula ke tepi pantai beberapa tahun kemudian hanya untuk sekali lagi dilanda malapetaka dalam kejadian tsunami pada tahun 1933 yang menyaksikan hanya empat orang sahaja terselamat.
Selepas itu Aneyoshi telah kembali ke kaki bukit dan tidak lagi berani kembali melepasi paras yang dibenarkan sepertimana yang dinyatakan pada batu bersuratnya. Ingatan daripada kejadian silam telah menyelamatkan mereka sekali lagi dalam kejadian tsunami berikutnya pada tahun 1960.
Kata Tamishige, tidak ada seorang pun daripada 34 penduduk kampung tersebut yang mengingati siapakah yang meletakkan batu bersurat berkenaan dan bilakah ia diletakkan. Tetapi mereka nekad berazam untuk memastikan batu tersebut terus kekal di situ sehingga seratus tahun lagi kerana ia telah menyelamatkan generasi demi generasi penduduk Aneyoshi daripada malapetaka tsunami.
Hakikatnya, beratus lagi batu bersurat yang digelar “batu tsunami” sepertimana yang ditemui di Aneyoshi - sesetengahnya berusia hampir enam abad lamanya dan ada yang setinggi sehingga tiga meter - bertaburan di merata-rata tempat di tepian pantai timur laut di utara Jepun adalah tanda bahawa malapetaka ini bukanlah fenomena baru di negara matahari terbit itu.
Ia adalah amaran kepada generasi akan datang betapa gelombang ombak tsunami bukan sahaja ditakuti malah merupakan gelombang maut yang tak dapat disekat dan dibendung oleh kuasa manusia.
Malangnya generasi terkemudian sama ada memilih untuk melupakan amaran tersebut atau memandang mudah akan malapetaka yang mampu dibawa oleh kuasa semulajadi alam itu. Kata Itoko Kitahara, pakar sejarah malapetaka semulajadi dari Universiti Ritsumeikan, batu tsunami itu amat jelas sekali bukanlah perkara jenaka kerana ia cuba memberi ingatan kepada generasi sekarang agar menghindari kesengsaraan yang pernah dilalui oleh generasi terdahulu tetapi mereka tidak mengendahkannya.
Tsunami yang berlaku akibat daripada gempa bumi bermagnitut 9.0 pada skala Richter itu telah mengorbankan lebih 29,000 nyawa. Beberapa batu tsunami yang ditemui di pantai timur laut Jepun itu terlalu lama sehinggakan ayat yang diukir di atasnya hampir terhakis ditelan zaman tetapi sebahagian besar lagi masih jelas dengan kata-kata amaran dan diukir serta diletakkan sebagai tanda amaran selepas kejadian yang berlaku pada tahun 1896 yang membawa kematian sehingga 22,000 orang.
Kebanyakkan batu tsunami itu memberi amaran supaya jangan membina apa-apa kediaman di bawah paras di mana ia diletakkan dan beberapa batu tsunami yang lain memberi panduan apa yang perlu dilakukan sebaik sahaja tanda-tanda awal tsunami akan berlaku. Di Aneyoshi, batu bersurat itu secara spesifik dengan jelas sekali memberi amaran kepada generasi seterusnya supaya tidak membina rumah di bawah paras yang dibenarkan.
Malah ada pekan dan perkampung di Jepun yang dinamakan sempena nama kawasan selamat daripada ancaman tsunami seperti Nokoriya yang bermaksud “lembah selamat” dan Namiwake yang bermaksud “di penghujung ombak”. Pekan dan perkampungan ini terletak lima kilometer dari pantai yang dianggap sebagai garisan paling jauh yang boleh dicapai oleh tsunami berdasarkan insiden yang berlaku pada tahun 1611.
Kini para sejarahwan berpendapat, jawapan kepada batu tsunami era moden ialah dengan mengekalkan bangunan yang rabak akibat dilanda ombak besar itu sebagai tanda peringatan kepada generasi berikutnya yang kampung, pekan atau bandar mereka suatu ketika dahulu pernah dilanda tsunami dan sejarah membuktikan sepertimana di Aneyoshi, ia tidak pernah berhenti melanda semula.

Sumber :mStar Online
Ranking: 5

{ 0 ulasan... read them below or add one }

Catat Ulasan

Pages

 
© LanunFanatik | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO